Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal di pawagam 21 Mac 2019 ini.


“MALAM GALA UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL” 

Kuala Lumpur, 5 Mac – Dibintangi oleh Asyiela Putri Azhar, Ahmad Mawardi Abdul Rahman, Mohd Amir Asyraf, Fakhrul Razi, dan Ernie Zakri. UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL yang mengambil masa 5 tahun untuk disiapkan ini akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 21 Mac 2019.

Filem terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. ini diarah oleh tiga pengarah muda berbakat, Adam Amiruddin (Pengarah siri Upin & Ipin), Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim (Pengarah siri Puteri), dan Ahmad Razuri Roseli (Pengarah siri Pada Zaman Dahulu) telah menjadikan kembar animasi no. 1 Malaysia, Upin dan Ipin kembali ke layar perak setelah 10 tahun.


Malam Gala filem UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL yang diadakan di GSC Mid Valley telah dihadiri oleh barisan tetamu kehormat, YB Gobind Singh, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dr. Mazlee, Menteri Pendidikan, penerbit, pengarah, barisan pelakon suara, para karyawan industri, dan pihak media.


Skor muzik asal dan runut bunyi ini dirakam semula dalam bentuk orkestra di Boston dan Prague. Kedua-dua lagu ini adalah OST bagi filem UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL.  Persembahan mantap Ernie Zakri menyanyikan lagu "Buai Laju-Laju" dan Fakhrul Razi menyanyikan lagu "Keris Sakti" menghiburkan peminat sebelum pelancaran malam gala ini yang dirasmikan oleh YB Gobind Singh.


Memilih tarikh 21 Mac selari dengan musim cuti sekolah, diharapkan filem ini dapat menjadi pilihan tontonan sekeluarga. Ini kerana siri “Upin & Ipin” sendiri diminati oleh kanak-kanak, ibu bapa, sehinggalah atok dan nenek. Kos penerbitan yang menelan belanja hampir RM 20 juta ini menggunakan sepenuhnya kepakaran anak-anak tempatan. Oleh itu, ia diharapkan akan melonjakkan mutu industri animasi tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi setanding dengan karya-karya antarabangsa.


Keris diangkat sebagai tema utama cerita setelah mendapat inspirasi daripada sebuah keris Melayu yang benar-benar wujud dan mempunyai misteri tidak mempunyai bilah. Filem UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL mengetengahkan pengembaraan Upin dan Ipin bersama kawan-kawan ke sebuah kerajaan dongeng bernama “Inderaloka”. Mereka akan berjumpa dengan pelbagai watak-watak dongeng popular seperti Mat Jenin, Bawang Merah, Bawang Putih, dan Pak Belalang. Penonton boleh mengimbau kembali nostalgia cerita zaman kanak-kanak dan melihat cerita dongeng nusantara ini dianimasikan dengan perwatakan baharu. 



UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 21 Mac 2019.  UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL adalah filem terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., penaja utama Citrex Gummy dari Millenium Pharmacon International (MPI), penaja bersama iNEST, edaran GSC Movies, Astro sebagai rakan media, FunNow sebagai rakan digital, dan disokong oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDEC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).


Kisah Upin, Ipin dan rakan-rakan kali ini agak menarik sebab mereka kembali ke zaman dulu kala setelah terjumpa sebuah keris misteri dalam bilik stor Tok Dalang. Portal ke zaman lalu terbuka dan mereka terpaksa mencari jalan keluar untuk kembali ke Kampung Durian Runtuh. Mereka berdepan segala cabaran sepanjang pengembaraan mereka dengan bantuan Mat Jenin, Belalang dan watak-watak lain dari cerita dongeng Malaysia. Bukan itu sahaja, mereka juga perlu membantu kerajaan itu kembali ke bekas kemuliaannya. Kena tonton sendiri kalau tak orang cakap I SPOIL the MOVIE ! haha.

Bahasa: Melayu
Sarikata: Inggeris
Klasifikasi: U
Tarikh Tayangan: 21 Mac 2019
Genre: Pengembaraan / Kekeluargaan / Fantasi
Durasi: 1 Jam 40 Minit
Pengedar: GSC Movies
Pelakon: Asyiela Putri, Ahmad Mawardi, Mohd Amir Asyraf, Ernie Zakri
Pengarah: Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim
Format: 2D, 2D ATMOS


Post a Comment

🌸Pengikut Blog🌸

www.syafierayamin.com